Home / Artikel / Terpisah Ratusan Tahun, Akhirnya Keluarga Ini Bertemu di Mandailing

Terpisah Ratusan Tahun, Akhirnya Keluarga Ini Bertemu di Mandailing

 

JEJAK KASIH 100 TAHUN (1)

Catatan : RAMLI BIN ABDUL KARIM HASIBUANKuala Lumpur, Malaysia

 

Dato Mohd. Shuhaili bin Mohd. Taufek Nasution menangis melihat stambuk susur keluarganya di Hutapungkut Jae

Dato Mohd. Shuhaili bin Mohd. Taufek Nasution menangis melihat stambuk susur keluarganya di Hutapungkut Jae

DATUK Habibah Zon Lubis, Datuk Mohd. Shuhaili Mohd. Taufek Nasution, Nurmah Mahiram Batubara dan Mastiara Abu Nawar Hasibuan selama ini tidak pernah meletak harapan tinggi dapat berjumpa sanak saudara di Sumatera Utara, Indonesia.

Apa tidaknya. Keempat-empat mereka langsung tidak mengenali sesiapa pun saudara mara di negara seberang itu. Mereka generasi ketiga atau keempat yang lahir di Malaysia, setelah nenek moyang merantau dan menetap di Tanah Melayu antara 120 dan 150 tahun lalu.

Namun, atas keinginan kuat melebarkan persaudaraan dan ingin menjalin tali silaturahim, mereka menyertai program Mulak Tu Huta (Pulang Ke Kampung) 2016 anjuran Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI) ke Tapanuli Bagian Selatan (Tabagsel), Sumatera Utara baru-baru ini. Program itu disokong Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI).

Tabagsel, iaitu tanah asal nenek moyang suku kaum Mandailing, terdiri daripada empat daerah, iaitu Mandailing Natal, Tapanuli Selatan, Padang Lawas dan Padang Lawas Utara, serta satu pihak berkuasa perbandaran di Padang Sidimpuan.

Secara kebetulan, lokasi semua keluarga yang dicari oleh keempat-empat mereka ialah di Mandailing Natal, yang mana ibu kotanya, Panyabungan, terletak kira-kira 480 kilometer dari bandar raya Medan, dan kira-kira 250 kilometer dari Padang, Sumatera Barat.

Walaupun program tujuh hari itu adalah dari 29 November hingga 5 Disember lalu, namun proses pencarian bermula beberapa bulan sebelumnya.

Ini kerana, ia melibatkan penelitian salasilah, maklumat nama orang atau kampung, sehinggalah proses menyaring ketulenan maklumat, mencari daerah dan mukim dimaksudkan. Terakhir, pengecilan saiz pencarian iaitu kampung dan rumah yang hendak dituju.

Pihak keluarga di Pakantan Dolok menunjukkan dokumen susur stambuk keluarga Dato Habibah binti Zon Lubis

Pihak keluarga di Pakantan Dolok menunjukkan dokumen susur stambuk keluarga Dato Habibah binti Zon Lubis

Antara kekangannya ialah maklumat nama nenek moyang atau kampung yang kurang tepat, selain nama kampung berubah setelah lebih 100 tahun, atau ketiadaan penduduk mengenali orang yang dicari. Pengesahan empat keluarga yang dicari hanya selesai dua hari sebelum mereka berangkat ke Medan.

Misi pencarian diketuai perwakilan IMAMI di Panyabungan, Dahlan Batubara, dibantu oleh Salman Rais Daulay di Pakantan, Maradotang Pulungan di Hutapungkut Jae dan Maradotang Pulungan di Siabu.

Dalam pencarian Habibah, 69, bekas Ketua Pengarah Arkib Negara berasal dari Batu Gajah, Perak misalnya, ia terbongkar setelah sepucuk surat bertulisan jawi lama yang dikirim kepada bapanya, Allahyarham Zon Abdul Shukor Lubis pada 26 Januari 1927, ditranskrip ke tulisan rumi oleh pihak IMAMI.

“Kami tidak boleh baca keseluruhan surat itu kerana tulisan jawi lama. Namun, saya dapat maklumat nama bapa kepada moyang dan asalnya di Pakantan. Alhamdulillah, setelah surat berusia 89 tahun itu ditranskrip, ia memudahkan pencarian,” kata Habibah.

Habibah keturunan keempat Raja Porkas, raja di Pakantan Bukit (kini Pakantan Dolok) pada 1800-an. Moyang beliau, Pirngas atau ‘Si Kocik’ merantau ke Tanah Melayu pada 1830-an.

Begitu juga Mohd. Shuhaili, 53, yang merupakan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah. Berdasarkan salasilah anak kelahiran Kampung Mandailing, Batu 9 Chemor, Perak itu, awalnya diandaikan keluarga yang dicari berada di Desa Pidoli Lombang, Panyabungan.

Setelah disaring, didapati moyang teratas dalam salasilah iaitu Datu Palas, yang kini telah mempunyai lebih 10 generasi memang asal usulnya dari Desa Pidoli Lombang. Namun, apabila disiasat, keluarga terhampir yang dicari oleh Mohd. Shuhaili berada di Huta Pungkut Jae, Kotanopan, 35 kilometer dari Panyabungan.

Bagi Nurmah, 60, pula, kekangan pencarian ialah nama sanak saudara di Kampung Tangga Bosi, Siabu yang diberi sebagai petunjuk tiada yang mengenalinya. Nama-nama itu sudah lama meninggal dunia.

Puan Nurmah binti Mahiram Batubara saat bertemu kelarga sepupunya Arman Batubara di Tangga Bosi, Siabu

Puan Nurmah binti Mahiram Batubara saat bertemu kelarga sepupunya Arman Batubara di Tangga Bosi, Siabu

Nurmah bernasib baik kerana ada petunjuk lain, yang kemudian membawa kepada penemuan. Bagi Mastiara, 49, pencariannya di Aek Tapus, Sihepeng dekat Siabu tidak sukar kerana ketua rombongan, iaitu penulis sendiri selaku Setiausaha Agung IMAMI, sering ke kampung itu.

Rombongan kami sembilan orang tiba di Lapangan Terbang Aek Godang, Padang Lawas Utara di Tabagsel pada petang 29 November lalu, disambut oleh Presiden IMAMI Indonesia, Ir. Aswin Efendi Siregar, yang juga Wakil Bupati atau Timbalan Pegawai Daerah Tapanuli Selatan.

Selepas mengunjungi lokasi pelancongan di Gunung Tua, ibu kota Padang Lawas Utara, kami meneruskan perjalanan ke Panyabungan berjarak 180 kilometer, empat jam menaiki bas mini.

Keesokannya, seawal 9.30 pagi, rombongan bertolak dari Panyabungan menuju Pakantan Dolok untuk misi pertama iaitu mempertemukan Habibah dengan sanak saudaranya.

Perjalanan 90 kilometer mendaki dan menuruni bukit, serta jalan berliku dan penuh selekoh itu mengambil masa dua setengah jam.

Tepat pukul 12 tengah hari, kami tiba di Pakantan Dolok, mukim Pakantan, yang kedudukannya lebih 1,200 meter dari aras laut. Habibah disambut mesra dan penuh semangat persaudaraan, bagaikan telah lama dikenali.

Sekumpulan wanita di bagas godang (istana lama) Raja Porkas menitiskan air mata. Pertemuan penuh tradisi, yang mana pewaris ‘kerajaan’ semasa, Sutan Soripada Mahodum Zainal Lubis memulakan bicara dengan ucapan beradat bahasa Mandailing, sebelum kata beradat juga disambut oleh penulis, bagi pihak Habibah yang tidak boleh berbahasa Mandailing.

Setelah dipadankan salasilah, ternyata kedua-dua pihak tidak tersilap orang. Jamuan selamat datang dihidangkan, ikatan kekeluargaan terjalin lebih mesra dan akrab sesama mereka. (bersambung)

Comments

Komentar Anda

Silahkan Anda Beri Komentar